01/11/2022
Semalam 31 Oktober 2022, En. Nazri Yahya dan En. Amirul Iman Dollah dari Nazri Yahya & Co. (NYCO) telah hadir sebagai Peguam Pemerhati mewakili mangsa Emilia Hanafi.
Perbicaraan ini melibatkan kes ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya Emilia Hanafi di Mahkamah Majistret telah ditangguhkan ke 25 November.
Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili SM Faisal memberitahu mahkamah bahawa, peguam utama ahli perniagaan itu Datuk Akberdin Abdul Kader, tidak dapat hadir hari ini kerana mengalami masalah pernafasan selain turut mengemukakan sijil cuti sakit (MC) peguam berkenaan kepada mahkamah.
SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang ketika kejadian adalah isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Media Variasi