Pejabat Peguam KUALA BESUT

Pejabat Peguam KUALA BESUT Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from Pejabat Peguam KUALA BESUT, Lawyer & Law Firm, No 8A, Perkedaian Majlis Daerah Besut, Pasar Baru Kuala Besut, Terengganu.

02/01/2019
24/10/2018

*HAKMILIK SEMENTARA*

Soalan: Kenapa geran saya ditulis "HAKMILIK SEMENTARA DAERAH (HSD)" dan bukan "GERAN NEGERI(GN)" ? Tanah ni bukan tanah saya sepenuhnya lagi ke? Kalau tanah saya kenapa sementara?😥

Bertenang.

Hakmilik sementara adalah hakmilik yang belum menjalani proses ukuran terakhir. Hakmilik sementara tidak semestinya bermaksud tanah itu adalah jenis tanah pajakan (leasehold). Tanah itu mungkin juga jenis tanah hakmilik kekal (freehold) tetapi belum menjalani proses ukuran terakhir dari Pejabat Tanah.

Hakmilik muktamad adalah hakmilik berdasarkan ukuran akhir /sebenar daripada Pejabat Tanah.Jadi mungkin akan ada sedikit perbezaan daripada saiz dalam dokumen hakmilik sementara. Selagi belum menjalani proses ukuran terakhir (atau disebut "pengukuran halus"), geran-geran ini akan diberi geran hakmilik sementara.

Jadi jangan risau jika geran anda masih tertulis HAKMILIK SEMENTARA DAERAH dan bukannya GERAN NEGERI kerana ia tetap geran yang SAH. Anda hanya perlu sabar menanti proses pengeluaran geran hakmilik muktamad dikeluarkan oleh Pejabat Tanah tanpa mengganggu hak anda untuk berurusniaga (pindahmilik, pajakan, tenansi,gadai,sewa) dengan hartanah tersebut.

Sekian, semoga bermanfaat😊

22/10/2018

*PENGURUSAN HARTA PUSAKA TANPA WASIAT*

1-LANTIK PENTADBIR
lantikan hendaklah secara bertulis, disahkan dan dipersetujui oleh semua waris.

2.KUMPUL MAKLUMAT HARTA
ada kemungkinan dokumen harta tidak disimpan dengan baik. Jadi, pentadbir perlu mendapatkan semua dokumen harta tersebut.

3.KUMPUL WARIS
Waris yang layak perlu dikenalpasti dan dijejaki. Jika waris sudah meninggal, salinan sijil mati diperlukan. Jika waris hilang, Perintah Anggapan Kematian dari mahkamah tinggi perlu dipohon.

4.PENILAIAN HARTA
Semua harta yang ada perlu dinilaikan untuk menentukan dimanakah permohonan Surat Kuasa Mentadbir boleh dipohon.

5. SIJIL FARAID
Permohonan sijil faraid di Mahkamah Syariah perlu dibuat terlebih dahulu bagi memastikan tiada waris yang tertinggal dan kadar agihan harta pusaka ditetapkan untuk setiap waris.

6.SURAT KUASA MENTADBIR
Setelah sijil faraid diperolehi, barulah pentadbir boleh memohon surat kuasa mentadbir.
Jika harta kurang dari RM 2 juta, permohonan boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil dan bagi harta lebih dari RM 2 juta, permohonan dibuat di mahkamah tinggi.

7.HARTA PUSAKA DICAIRKAN DAN DIAGIHKAN.
Selepas surat kuasa mentadbir diperolehi, barulah harta boleh dicairkan untuk membayar hutang simati, melakukan pembahagian harta pusaka mengikut kadar yang ditentukan dan melakukan pindahmilik.

Kesimpulannya, pengurusan harta pusaka tanpa wasiat mengambil masa yang panjang dan rumit dan ini boleh dielakkan dengan penulisan wasiat.

Sekian, moga bermanfaat😊

17/10/2018

SIAPAKAH PEMEGANG AMANAH?🤔

Pemegang amanah adalah seseorang yang dilantik oleh tuan tanah/pemberi amanah ketika hidup dan BERKUATKUASA SERTA MERTA. Kedua-dua pemberi dan pemegang amanah akan menandatangani Surat Ikatan Amanah dan mendaftarkannya di Pejabat Tanah berdekatan untuk menjadikan pelantikan tersebut sah. Sebagaimana namanya pemegang amanah, pemegang amanah tentulah tidak mempunyai kuasa penuh ke atas hartanah tersebut kecuali mendapat persetujuan pemberi amanah. Pemberi amanah biasanya dilantik apabila melibatkan anak bawah umur, cacat atau pihak-pihak lain yang tidak layak dari segi undang-undang ataupun disebabkan oleh halangan undang-undang sedia ada.

Contohnya adalah seperti pembelian 1 ekar tanah pertanian yang dikongsi oleh 3 orang pembeli (Pembeli A, B dan C) untuk sama-sama dipecahkan bahagian (biasanya dipanggil pecah lot). Undang-undang sedia ada membenarkan hanya satu nama sahaja didaftarkan dalam urusan pindahmilik bagi tanah pertanian (kita andaikan tanah dipindahmilik dari penjual kepada pembeli A) . Jadi, untuk melindungi hak pembeli B dan C, mereka akan melantik pembeli A sebagai Pemegang Amanah sementara menunggu kelulusan untuk permohonan tukar syarat tanah pertanian kepada bangunan, permohonan pecah bahagian dan seterusnya geran individu dikeluarkan. Apabila geran individu dikeluarkan, maka Pembeli A sebagai Pemegang Amanah akan memindahmilik bahagian Pemberi B dan C sebagaimana sepatutnya.

Semoga bermanfaat😊

15/10/2018

SIAPAKAH PENTADBIR HARTA?🤔

Pentadbir harta adalah orang yang dilantik samada di kalangan waris atau mana-mana pihak yang berkenaan oleh pemilik harta untuk menguruskan hartanya SELEPAS dia meninggal dunia. Sekiranya tidak dilantik oleh pemilik harta tersebut, pentadbir harta juga boleh dilantik oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah untuk mentadbir harta simati bagi pihak waris yang ketika itu mungkin masih di bawah umur atau hilang upaya dari segi undang-undang untuk memiliki harta tersebut. Pentadbir harta hanyalah sekadar pengurus, pentadbir dan memegang amanah bagi pihak si mati sehinggalah harta tersebut boleh diserahkan kepada waris yang sepatutnya dan sehingga urusan pembahagian harta selesai. Pentadbir harta tersebut bukanlah menjadi pemilik harta atau orang yang berkepentingan ke atas harta tersebut melainkan dia juga adalah waris kepada si mati. Ini bermakna dia tiada kuasa automatik untuk menjual atau memindahmilik harta tersebut kepada sesiapa yang bukan waris kecuali mendapat perintah mahkamah untuk berbuat demikian. Jika pentadbir harta gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan amanah, dia juga boleh digantikan dengan pentadbir harta yang lain yang telah dilantik. Ini kerana, pentadbir harta boleh dilantik lebih dari seorang. Pentadbir harta juga tidak semestinya seorang individu tetapi boleh juga dari pihak lain seperti Amanah Raya Berhad.

Semoga bermanfaat😊

09/10/2018

*PECAH LOT*

APA MAKSUDNYA?🤔🤔

Sebenarnya tiada terma pecah lot pun dalam undang-undang. Cuma terma ini selalu digunakan oleh masyarakat untuk menggambarkan proses pembahagian tanah kepada beberapa unit kecil. Terdapat dua jenis pembahagian tanah iaitu:

1. PECAH SEMPADAN
sekeping tanah dipecahkan kepada beberapa lot tetapi tidak mengubah bahagian hak kepunyaan tuan tanah.

Contoh:
A dan B ada 2 ekar tanah.
A dan B setuju untuk pecahkan sempadan tanah kepada 3 lot yang lebih kecil untuk dijual.
A dan B sekarang ada 3 lot tanah (lot 1,2 dan 3).
Kesemua tanah masih lagi nama bersama A dan B untuk ketiga-tiga lot 1,2 dan 3.

2. PECAH BAHAGIAN
Sekeping tanah dipecah kepada beberapa lot tetapi mengikut bahagian masing-masing yang dipersetujui dan yang telah didaftarkan di dalam geran.

Contoh:
X dan Y ada 2 ekar tanah.
X ada 1/2 bahagian.
Y ada 1/2 bahagian.
X dan Y setuju BAHAGI tanah sama rata.
X dan Y masing-masing dapat 1 ekar dengan.
Nama X untuk 1 ekar tanah X.
Nama Y untuk 1 ekar tanah Y.

Semoga bermanfaat☺️

25/09/2018

TIPS HADIR KE MAHKAMAH

Memandangkan bukan semua daripada kita biasa berurusan di mahkamah, jadi saya kongsikan tips untuk anda menghadapi situasi di atas.

1. BERPAKAIAN KEMAS
Pakailah pakaian yang bersih dan kemas serta sopan. Anda dilarang memakai
1.seluar/skirt pendek
2.jeans
3.selipar
4.topi keledar
5.cermin mata hitam
6.jaket kulit/jaket denim/baju kemeja tanpa
lengan
7.pakaian warna terang dan sarat dengan
perhiasan.

Ingat, ini adalah etika pakaian yang mesti diikuti. Anda semestinya tidak mahu memberikan tanggapan yang negatif kepada majistret/hakim ketika kes anda dipanggil. Besar kemungkinan, anda mungkin tidak dapat masuk ke bilik bicara kerana dihalang oleh pengawal keselamatan mahkamah akibat pemakaian anda😢.

2.DATANG AWAL KE MAHKAMAH.
Mahkamah akan bersidang tepat jam 9.00 pagi. Adalah lebih baik jika anda berada di dalam bilik bicara sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mahkamah bersidang. Rancang perjalanan anda dan pastikan anda datang awal ke mahkamah supaya anda dapat mengambil masa untuk mencari di mana bilik bicara kes anda akan didengar. Ini kerana kebanyakkan mahkamah mempunyai lebih daripada satu bilik bicara. Jadi sebaik sahaja sampai, anda boleh bertanya di kaunter pendaftaran di bilik mana kes anda disebut. Segera ke bilik bicara dan tunggu mahkamah bersidang.

3.SEMAKAN DENGAN JURUBAHASA
Apabila anda melihat jurubahasa telah masuk ke bilik bicara, anda boleh dapatkan pengesahan samada kes anda disenaraikan di bilik bicara tersebut atau tidak. Nyatakan pada jurubahasa bahawa anda menerima saman dan diminta hadir ke mahkamah. Jurubahasa juga akan memaklumkan kepada peguam yang saman anda akan kehadiran anda. Jika anda segan ke hadapan bertemu jurubahasa, anda boleh meminta bantuan daripada mana-mana peguam yang ada di bilik bicara tersebut untuk mendaftarkan kes anda dengan jurubahasa.
Selepas itu, duduk kembali di tempat duduk awam dan tunggu kes anda dipanggil.

4.BERI PERHATIAN
Apabila mahkamah bersidang, beri perhatian pada kes-kes yang dipanggil. Jangan bersembang atau main telefon. Kadang-kadang ada jurubahasa yang suaranya perlahan dan sukar didengar dengan jelas. Jadi fokus pada apa yang disebutkan jurubahasa. Adalah lebih baik untuk anda mengingat nombor kes anda kerana kes selalunya dipanggil berdasarkan nombor kes dan bukannya nama anda. Apabila kes anda dipanggil, anda perlu bangun dan masuk ke ruang hadapan (kawasan tempat duduk peguam) dan serahkan kad pengenalan anda kepada jurubahasa untuk rekod kehadiran.
Dengar apa yang dikatakan jurubahasa kepada anda tentang saman yang dibuat ke atas anda. Terpulang kepada anda sama ada anda bersetuju atau tidak dengan tuntutan saman tersebut.
Jika anda tidak setuju dengan tuntutan tersebut, nyatakan kepada mahkamah bahawa anda tidak bersetuju. Mahkamah akan menetapkan satu tarikh sebutan baru untuk anda melantik peguam untuk pembelaan. Jika anda bersetuju dengan tuntutan yang dibuat, nyatakan bahawa anda mengakui tuntutan saman tersebut. Satu penghakiman persetujuan akan direkodkan dan tiada lagi tarikh sebutan seterusnya yang akan ditetapkan.
Majistret/Hakim akan memaklumkan bahawa penghakiman telah direkodkan dan kad pengenalan anda akan dipulangkan. Jika tiada arahan daripada mahkamah ataupun peguam yang saman anda untuk menunggu, anda boleh keluar dari bilik bicara dan pulang.

Semoga bermanfaat☺️

24/09/2018

Soalan: Bolehkah mewasiatkan keseluruhan harta kepada anak angkat?🤔

Anak angkat tergolong dalam kalangan bukan waris dan harta yang boleh diwasiatkan kepadanya adalah tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta.

Jika tidak melebihi 1/3 daripada harta pewasiat, maka boleh diberikan kepadanya.

Jika melebihi 1/3, maka persetujuan waris faraid diperlukan ke atas lebihan daripada 1/3 tersebut.
Jika semua waris setuju, maka wasiat ke atas seluruh harta tersebut boleh dilaksanakan.

Jika waris tidak bersetuju, maka anak angkat tersebut layak setakat 1/3 harta sahaja.

Jadi, fahami pengurusan harta anda.

Semoga bermanfaat😊.

20/09/2018

DIISYTIHARKAN MUFLIS TANPA ANDA SEDARI?

Bolehkah perkara sebegini terjadi? 🤔

Jawapannya, BOLEH. Ya, anda boleh diisytiharkan muflis tanpa anda sedar.

Bagaimana ia berlaku?

Pertama sekali anda perlu tahu prosedur kebankrapan yang perlu dilakukan mengikut undang-undang sebelum anda diisytiharkan bankrap.

Pihak pemiutang (orang yang menuntut hutang dan dalam situasi ini saya akan menggunakan bank sebagai pemiutang memandangkan ramai antara kita yang membuat pinjaman dengan bank) akan mengarahkan peguam yang dilantik untuk memfailkan Notis Kebankrapan di mahkamah dan Notis Kebankrapan ini perlu diserahkan secara kendiri kepada Penghutang (orang yang berhutang) ke alamat terakhir yang diketahui. Alamat terakhir yang diketahui kebiasaannya adalah alamat yang terdapat di dalam mana-mana perjanjian yang telah ditandatangani oleh anda dengan pihak bank. Jika anda berpindah tanpa memaklumkan kepada pihak bank alamat terbaru anda, alamat yang ada dalam simpanan bank itulah yang dikira alamat terkini dan kerana itulah anda tidak tahu tindakan kebankrapan diambil ke atas anda.

Sekiranya serahan kendiri tidak dapat dibuat, pihak peguam akan membuat permohonan ke mahkamah untuk membuat serahan Notis Kebankrapan secara ganti iaitu secara pengiklanan. Iklan akan dimasukkan ke dalam akhbar berkenaan tindakan kebankrapan ke atas anda.

Seterusnya, pihak peguam akan memfailkan Petisyen Pemiutang. Petisyen Pemiutang adalah proses terakhir sebelum anda diisytiharkan muflis. Petisyen Pemiutang ini juga perlu diserahkan secara kendiri kepada anda. Dan memandangkan alamat terkini anda berpindah tidak dimaklumkan, proses serahan adalah sebagaimana Notis Kebankrapan tadi. Bermakna, Petisyen Pemiutang juga akan diiklankan. Setelah Petisyen Pemiutang diiklankan dan suratcara teratur, peguam akan memohon kepada pihak mahkamah untuk mengisytiharkan anda muflis.

Apabila anda sudah diisytiharkan muflis, anda tidak lagi mempunyai hak ke atas harta anda. Harta anda akan ditadbir oleh Ketua Pegawai Insolvensi dan semua aset anda akan dibekukan.

Anda mungkin akan tahu bahawa anda telah muflis apabila anda cuba mengeluarkan duit dari ATM ataupun cuba membuat bayaran tunggakan pinjaman anda di bank. Pada masa itu, anda sudah tidak dapat mengeluarkan duit lagi dan bank juga tidak akan menerima bayaran tunggakan anda kerana akaun anda telah dibekukan.

Jadi, memang boleh terjadi anda diisytiharkan muflis tanpa anda sedari. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk sentiasa memberikan alamat tetap untuk urusan surat menyurat ketika menandatangani apa-apa perjanjian. Jika anda menggunakan alamat rumah sewa contohnya dan anda telah berpindah, pastikan anda memaklumkan pertukaran alamat anda atau mengemaskini alamat terkini anda dengan pihak bank.

Sekian, semoga bermanfaat😊.

18/09/2018

APAKAH PENAMAAN DI KWSP, TABUNG HAJI DAN SEBAGAINYA DIKIRA SEBAGAI WASIAT?

Jawapannya adalah TIDAK.

Penama yang dinamakan bagi KWSP, TABUNG HAJI dan sebagainya hanyalah PENTADBIR yang bertanggungjawab membahagikan harta kepada waris berhak mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia. Penamaan tersebut BUKAN WASIAT yang menyatakan bahawa wang caruman diberikan kepada penama.

Penama yang dilantik BOLEH mengeluarkan wang caruman dengan segera apabila pencarum meninggal dunia. Jika tiada penama yang dilantik, wang caruman/simpanan arwah akan dibekukan sehingga seorang pentadbir dilantik. Penama yang dilantik berhak mengeluarkan wang caruman tersebut untuk dibahagikan kepada waris dan bukanlah untuk dirinya sendiri.

Contohnya, seorang isteri meninggal dunia dan meninggalkan suami, ayah dan ibunya, serta 3 orang anak. Sebagai penama, suami berhak mengeluarkan wang caruman arwah isterinya BUKAN untuk dirinya sahaja TETAPI dibahagikan kepada waris yang berhak iaitu ayah, ibu, 3 orang anaknya dan dirinya sendiri.

Kesimpulannya, Penama dilantik hanyalah untuk memudahkan urusan pentadbiran harta pusaka arwah semata-mata.

Jadi, faham betul-betul apa fungsi penama. Jangan sampai termakan harta orang lain apatah lagi anak yatim😢.

Semoga bermanfaat.

12/09/2018

UNDANG-UNDANG BERKAITAN HAK PENYEWAAN🤓

Di Malaysia, tiada undang-undang khusus yang dapat menjaga hak penyewa dan tuan rumah. Namun begitu, masih terdapat beberapa undang-undang yang biasanya digunakan untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam hal penyewaan.

1. AKTA KONTRAK 1950
Akta ini biasanya digunakan untuk perkara yang berkaitan dengan perjanjian penyewaan yang telah ditandatangani oleh tuan rumah dan penyewa. Jika mana-mana pihak melanggar perjanjian sewa tersebut, seperti menaikkan harga sewa secara tiba-tiba dan tidak mengikut perjanjian, maka dia telah melanggar kontrak dan akta ini digunakan untuk melindungi pihak yang teraniaya.

2. AKTA BANTUAN KHUSUS 1950
Akta ini melindungi penyewa dari dihalang oleh tuan rumah untuk tinggal di rumah tersebut. Tuan rumah dilarang mengusir, menukar kunci atau melakukan apa-apa perkara yang menghalang penyewa daripada tinggal di situ tanpa apa-apa perintah mahkamah sepanjang tempoh penyewaan. Jika tuan rumah melakukannya, maka penyewa boleh mengambil tindakan mahkamah dan menyaman tuan rumah tersebut.

3.AKTA DISTRES 1951
Akta ini berkenaan prosedur yang perlu diikuti oleh tuan tanah jika ingin mendapatkan kembali tunggakan sewa dari penyewa. Tuan tanah boleh merampas barangan tertentu milik penyewa dan dijual bagi mendapatkan tunggakan sewanya. Akta ini juga melindungi hak penyewa jika diusir oleh tuan rumah dan barang-barang yang boleh dirampas tuan rumah untuk mendapatkan tunggakan sewanya.

4.AKTA UNDANG-UNDANG SIVIL 1956
Akta ini digunakan untuk perkara yang berkaitan dengan pembayaran sewa. Jika penyewa tidak membayar sewa sebagaimana yang ditetapkan, tuan tanah boleh mengenakan bayaran sebanyak dua kali ganda dari nilai tunggakan.

Oleh itu, dengan menggunakan undang-undang diatas, hak tuan rumah dan juga penyewa masih dilindungi dari apa-apa perkara berbangkit dengan masalah penyewaan.

Address

No 8A, Perkedaian Majlis Daerah Besut, Pasar Baru Kuala Besut
Terengganu
22300

Opening Hours

Monday 09:00 - 17:00
Tuesday 09:00 - 17:00
Wednesday 09:00 - 17:00
Thursday 09:00 - 17:00
Sunday 09:00 - 17:00

Telephone

0199175349

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Pejabat Peguam KUALA BESUT posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Business

Send a message to Pejabat Peguam KUALA BESUT:

Share